“Kalau saya cakap, jangan tak percaya pula ya! Sepanjang hidup, saya hanya pernah jatuh cinta sebanyak tiga kali.”
Demikianlah jawapan spontan Zamani yang apabila ditanya mengenai pengalaman bercintanya
Sambungnya, “Kalau hendak diingatkan semula, pertama kalinya adalah pada zaman persekolahan dulu. Kemudiannya, ketika saya mula-mula menjadi artis dan yang terakhir, dia kini sudah pun bergelar suri rumah saya,” jawabnya dalam keadaan tersipu-sipu malu.
Berbicara mengenai suri hati Zamani, iaitu Juliana atau nama sebenar Nur Juliana Abdul Rani, 37, Zamani akui dirinya tertawan oleh wanita jelita itu kerana sifatnya yang memahami.
Kata Zamani, “Apa yang membuatkan saya terpikat pada Juliana ialah sifatnya yang sangat memahami saya. Saya ini jenis yang sukar difahami, terutamanya mereka yang tidak mengenali saya sebenar-benarnya.
“Tapi dia lain, dia dapat mendalami saya dengan baik, membuatkan saya rasa begitu senang bersama dengan dia.”
Walaupun bagaimanapun, Zamani akui, tidak mudah untuk dirinya membuka hati kepada wanita yang berjaya mencuri hatinya itu hingga membina mahligai cinta bersama-sama.
Kongsi Zamani, “Kisah cinta kami bukan sekejap, sebelum bernikah, bermacam-macam onak duri dan ranjau yang telah saya tempuh bersama dia selama 14 tahun hingga membuatkan saya bertanya semula pada diri sendiri, yakinkah saya dan mampukah saya untuk menghabiskan sisa hidup saya dengan wanita ini?
“Namun saya sedar, cuma dia yang mampu mendekati saya dengan baik. Senang cerita, keperibadian Juliana buat saya terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga, dan kekal tertarik padanya.”
Berbicara mengenai cahaya mata, terang Zamani, “Tipulah kalau kami tidak idamkan untuk mempunyai cahaya mata kan? Buat masa sekarang ini, kami masih sedang berusaha.
“Tapi, melihat pada faktor usia dan kesihatan saya, kami hanya mampu berdoa dan terus berusaha. Namun, jikalau ada rezeki, kami sentiasa terbuka hati untuk menerima.”
Terdahulu, Zamani Ibrahim, 49, menamatkan zaman bujangnya bersama wanita pilihan hati, Nur Juliana Abdul Rani, 37, pada September tahun lalu.
Bakal menutup 2020 dengan melancarkan biografi pertama miliknya berjudul Hitam Putih Zamani, penyanyi yang menempa nama menerusi kumpulan muzik popular 90-an, Slam, kini sedang ligat mempromosikan buku tersebut.
Comments
Post a Comment