Selepas lebih 5 tahun berlalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini memerintahkan kerani wanita dipenjara selama 6 tahun serta didenda RM6,000 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan pemergian 8 remaja berbasikal lajak. Sam Ke Ting, 27, diputuskan bersalah dan disabitkan atas pertuduhan berkenaan selepas melalui perbicaraan penuh mengenai insiden terbabit. Ia sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.
Ibu lega siasatan akhirnya menemui titik noktah selepas sekian lama…mahu lupakan episod sedih dalam hidup
Walaupun masih belum lupakan kejadian menyayat hati yang mengorbankan lapan remaja terbabit, namun waris keluarga ‘geng basikal lajak’ itu reda dengan ketentuan takdir. Ibu kepada Allahyarham Mohamad Azhar Amir, iaitu Sabariah Yusof terima apa jua keputusan akhir mahkamah. Dia turut akui sedih dan kecewa apabila masyarakat memandang serong pada semua keluarga yang terbabit, sedangkan masing-masing menderita trauma berpanjangan selepas insiden itu.
Trauma kehilangan anak masih belum dapat dilupakan…3 tahun kerap terjaga dari tidur & mencarinya
Sambil meluahkan rasa lega, wanita berusia 54 tahun itu akui cuma mahu lupakan episod sedih susulan kehilangan anak ke-8 yang disifatkan manja dan rapat dengan dirinya. Selama 3 tahun, Sabariah dedahkan sering terjaga daripada tidur dan mencari Azhar Amir sebelum menyedari hakikat bahawa Allahyarham sudah pun tiada.
Tak tahu macam mana nak terangkan…cuma reda atas apa yang berlaku
Ketika diajukan soalan sama ada dirinya memaafkan suspek yang meragut hayat anaknya, Sabariah dilihat tersenyum sambil mengesat air mata. Dengan nada ringkas, dia akui reda dengan setiap peristiwa yang telah berlaku. Dalam pada itu, Sam Ke Ting turut akan ditarik kelayakan memandu selama 3 tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Comments
Post a Comment